SELANGOR

Selangor dominan martabat umat Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan dan memartabatkan syiar Islam di negeri ini tidak dapat dinafikan, malah sentiasa berusaha memastikan nilai-nilai Islam diserapkan dalam pelbagai aspek.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor merupakan negeri contoh apabila dominan mengangkat martabat umat Islam.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk memberikan peruntukan sebanyak RM400 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi Belanjawan Negeri 2018.

“Kita memberi jaminan umat Islam, selagi saya masih di sini saya akan bekerja kuat mempertahankan agama Islam,” katanya di majlis dialog bersama penduduk di Madrasah Al-Ittihad, Taman Setia Gombak, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata isu pemilikan tanah Madrasah Al-Ittihad di Taman Setia Gombak itu selesai sejak 2016.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah menyerahkan kepada JAIS untuk mengambil alih pengurusan.

“Menerusi beberapa siri perbincangan, isu tanah ini selesai. Kita tidak mahu pemaju mengambil alih.

“Alhamdulillah, tawaran RM1.79 juta diterima dan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah ini,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :