SELANGOR

Selangor sumbang RM260,000 biaya rawatan dialisis

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 9 APR: Sejumlah RM260,000 disumbangkan Kerajaan Negeri bagi membiayai rawatan pesakit buah pinggang, di Yayasan Kebajikan SSL Hemodialisis, di sini.

Sumbangan disampaikan Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), mewakili Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi kepada Naib Presiden yayasan, Wong Peng Wah.

Katanya, jumlah itu bagi menanggung kos rawatan 52 pesakit di dua pusat dialisis yayasan, iaitu di Puchong dan Petaling Jaya.

“Ia adalah bantuan yang diluluskan dari Januari hingga Mac tahun ini. Setakat ini, lebih 400 pesakit buah pinggang dibantu.

“Kami juga mensasarkan bantuan RM5,000 kepada seorang pesakit dengan anggaran 1,000 penerima bagi peruntukan RM5 juta setahun,” katanya kepada SelangorKini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han dan ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Terdapat kira-kira 200 pesakit yang menjalani rawatan dialisis di pusat rawatan berkenaan.

Pesakit yang layak boleh memohon mendapatkan bantuan di laman sesawang Bantuan Sihat Selangor iaitu bantuansihat.selangor.gov. my.

Bantuan itu diperkenalkan sejak 2009 sehingga kini dengan keutamaan diberikan kepada pemohon yang tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana agensi.


Pengarang :