NASIONAL

Senarai nama calon KEADILAN diumum 25 April

OLEH SABIRAH AZIZ

SUNGAI BULOH, 14 APR: Senarai nama calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bakal diumumkan pada 25 April ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Elizabeth Wong berkata, ia akan dikeluarkan tiga hari sebelum tarikh sebenar penamaan calon pada 28 April ini.

“Maka, sebelum tarikh berkenaan, segala maklumat mengenainya adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan.

“Bagaimanapun, mengenai kedudukan kerusi untuk bertanding, saya hanya menyerahkan segalanya pada kebijaksanaan pimpinan untuk menentukannya.

“Apa yang lebih penting adalah kami dapat bergabung dengan parti-parti lain di bawahnya dengan menggunakan satu logo dan bendera sahaja untuk bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung di Kampung Desa Aman, di sini bersama Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Elizabeth berharap Pakatan Harapan (PAKATAN) dapat membawa perubahan kepada Malaysia selaras dengan ungkapan ‘Selangor harapan Malaysia’ agar semua rakyat di negara ini turut sama memberikan peluang dan sokongan untuk mentadbir Putrajaya dan negeri lain.

“Kami juga akan membuktikan kepada pimpinan Barisan Nasional bahawa PAKATAN mampu mentadbir Selangor pada PRU14 kali ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :