GLOBAL

Serangan ke atas Syria berjaya capai sasaran

WASHINGTON 14 APR: Serangan terhadap Syria oleh Amerika, Britain dan Perancis hari ini mengenai tiga sasaran iaitu pusat penyelidikan saintifik, kemudahan simpanan serta pusat pemerintahan tentera dekat Damsyik dan simpanan senjata kimia di Homs.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis, berkata buat masa ini, serangan sudah selesai dan tiada serangan lanjut akan dilancarkan terhadap Syria melainkan Presiden Bashar al-Assad menggunakan lagi senjata kimia.

“Kami melakukan serangan pantas yang tepat dan ia juga serangan yang besar,” katanya.

Menurut Mattis, serangan itu berlangsung selama kira-kira sejam.

Dalam serangan terhadap Syria tahun lalu, Amerika hanya menggunakan peluru berpandu cruise Tormahawk yang mensasarkan satu lapangan terbang.

Kali ini, serangan turut menggunakan pesawat penggempur Tornado Britain yang membedil peluru berpandu Shadow serta jet penggempur Perancis, Rafael.

Ketua Turus Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Joseph Dunford, mengakui sistem pertahanan udara Syria, termasuk peluru berpandu bumi ke udara dilancarkan namun beliau menyatakan tiada laporan mengenai pesawat pihak bersekutu terkena tembakan.

Menurutnya, seperti serangan sebelum ini, tentera Russia diberi amaran mengenai serangan itu dan pesawat Barat akan berada di ruang udara Syria namun tidak diberitahu sasaran atau masa serangan.

SUMBER: AFP


Pengarang :