Wanita masa kini perlu membahagikan masa menguruskan kerjaya, rumah tangga dan keluarga. Foto SELANGORKINI
NASIONAL

Shahrizat gagal faham istilah ‘fitrah wanita’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 APR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Jalil gagal memahami konteks sebenar pengertian istilah fitrah yang didakwa kononnya merujuk kepada keperluan masyarakat untuk kekal memilih pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, mantan menteri Umno itu hanya menunjukkan kecetekan akalnya sendiri, sekali gus membuktikan beliau tidak layak menjadi pemimpin wanita Malaysia.

“Fitrah dalam erti kata sebenar bermaksud untuk kembali ke asal. Dalam konteks ini, kita boleh nyatakan fitrah yang benar-benar diperlukan rakyat Malaysia adalah menolak pemerintahan songsang kerajaan kleptokrat BN.

“Justeru, rakyat perlu kembali ke pangkal jalan untuk menikmati kebebasan, keamanan dan kemakmuran, seperti yang sudah serta sedang diperjuangkan Pakatan Harapan (PAKATAN) kini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas ucapan Shahrizat, pada Majlis Pelancaran Manifesto Wanita BN yang merujuk keperluan wanita Malaysia kembali kepada fitrah asal dengan memilih BN sebagai kempipinan utama negara.

Namun, Zuraida menyifatkan kenyataan itu dangkal dengan merujuk beberapa siri kelemahan urus tadbir Putrajaya terhadap kebajikan golongan wanita, di negara ini.

Katanya, pentadbiran PAKATAN dilihat lebih berkeupayaan dan konsisten membawa perubahan reformasi golongan wanita seluruh negara.

“Kelemahan pentadbiran kerajaan BN dalam menguruskan hal kewangan, ekonomi, pendidikan dan sosial di negara ini tidak boleh ditutup lagi.

“Ia berbeza dengan Kerajaan Selangor yang mencatat rizab simpanan negeri terbesar, di Malaysia dengan jumlah RM3.4 billion, pada tahun lalu,” katanya.


Pengarang :