NASIONAL

Pertemuan Najib-Bloomberg tidak ubah keyakinan rakyat tolak BN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 27 APR: Keyakinan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN akan terus mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dilihat hanya ‘syok sendiri’ apabila rata-rata rakyat kini menolak pentadbiran gagasan itu.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie berkata demikian bagi mengulas sessi wacana Najib dengan Bloomberg.

Shuhaimi berkata, pertemuan beliau bersama media antarabangsa itu dilihat satu kaedah memusingkan fakta untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kredibiliti beliau tidak lagi diragui diperingkat antarabangsa.

“Najib boleh membuat pertemuan bersama Bloomberg atau mana-mana pihak lain, namun rakyat Malaysia sebenarnya lebih bijak menilai pemimpin berwibawa.

“Secara keseluruhannya hari ini rakyat juga mahukan perubahan dan sehingga kini rata-rata masih terkesan dengan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta hutang negara melibatkan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Saya yakin perubahan berlaku di banyak kawasan dan penolakan terhadap Najib tidak boleh dinafikan lagi.

“Lambat laun, Najib terpaksa akur rakyat tidak lagi menyokong beliau dan BN,” katanya ketika ditemui Selangor Kini dalam program turun padang di Klang, pagi tadi.

Baru-baru ini, Najib dalam pertemuannya dengan Bloomberg mendakwa BN akan terus mendapat mandat rakyat bagi menerajui negara dengan keputusan lebih baik dalam PRU14.

Najib juga menafikan beliau terlibat dalam masalah tadbir urus 1MDB kerana tiada bukti menyatakan bahawa beliau terlibat dengan penyelewengan dana itu.


Pengarang :