SELANGOR

Siap sedia hadapi Revolusi Perindustrian 4.0

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APR: Revolusi Perindustrian 4.0 yang menggabungkan pelbagai teknologi baru bakal memberikan kesan kepada cara kehidupan masyarakat di masa hadapan.

Pengarah Kanan Nasional dan Penglibatan Strategik MIMOS Berhad, Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, revolusi keempat itu akan lebih memfokuskan kepada teknologi robot, Internet of Things (IoT) bukan sahaja merevolusi perniagaan dan perkhidmatan tetapi hampir semua aspek kehidupan.

“Pada masa akan datang kita akan memiliki sebuah bandar pintar (Smart City) dengan proses automasi hasil bantuan perisian.

“Industri ini juga bakal meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem penyampaian kerana semua urusan dijalankan secara digital termasuk dalam keselamatan penjagaan rumah kita ada sistem yang boleh memberi maklum dengan cepat terus kepada kita mahupun polis jika berlaku sebarang kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan forum dalam Karnival STEM Education for the 4th Industrial Revolution di Da Men Hall Subang Jaya, semalam.

Karnival itu bersempena minggu Sains Negara Peringkat Negeri Selangor 2018 yang berlansung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 April.

Sekurang-kurangnya 40 booth daripada pelbagai organisasi termasuk universiti, pertubuhan profesional, syarikat swasta serta Persatuan Ibu, Bapa, Guru (PIBG).

Karnival itu juga salah satu inisiatif menerapkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, and matematik (STEM) kepada pelajar bermula di peringkat sekolah untuk meneruskan era ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian keempat.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan Selangor sedia menjadi perintis Revolusi Perindustrian 4.0 sebagai paradigma baru ekonomi selaras gagasan ‘Smart State’.

Katanya, ekonomi negara perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi berteraskan penguasaan teknologi tinggi melului inisiatif pendidikan untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

=EZY=


Pengarang :