SELANGOR SUKANKINI

Siti Safiyah terharu terima anugerah pertama peringkat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 APR: Atlet Tempin-Boling, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman nyata gembira dan menyifatkan segala usaha dilakukan selama ini akhirnya berbaloi apabila dinobatkan selaku Olahragawati Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2017.

Bersaing hebat dengan pemenang Anugerah Olahragawati bagi dua edisi, 2014 dan 2015/16, Syakilla Salni Jefry Krisnan dari sukan Karate-Do – Kumite, ini merupakan pengiktirafan pertama yang diterimanya di peringkat Negeri Selangor hasil kejayaan beberapa pertandingan sepanjang tahun 2017.

“Tahun lalu saya menjadi atlet pertama dari Malaysia yang memenangi Professional League Women di Amerika Syarikat.

“Selain pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, kita juga berjaya memenangi pingat emas kejohanan World Championship selepas 10 tahun.

“Saya rasa itu mendorong kepada kejayaan memenangi Anugerah Olahragawati Negeri Selangor 2017,” katanya.

Katanya, beliau kini sedang membuat persediaan rapi untuk mengharungi Professional League Women khususnya bagi mempertahankan pingat emas pada Jun hadapan dan temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Siti Safiyyah turut mengatasi seorang lagi finalis dari sukan Gimnastik Artistik, Farah Ann Abdul Hadi.

Pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2017 yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, semalam, beliau menerima trofi dan insentif RM10,000 yang disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta dipakaikan dengan blazer biru Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) selaku Olahragawati 2017.

=EZY=


Pengarang :