BERITA UTAMASELANGOR

Skim Smart First Home Buyers bantu rakyat milik rumah Selangorku

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 17 APR: Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Smart Selangor First Home Buyers bagi membantu rakyat membayar wang pendahuluan 10 peratus bagi membeli rumah mampu milik Selangorku.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim itu diperkenalkan bagi membantu golongan sasaran yang menghadapi masalah membayar deposit dan mendapatkan pinjaman.

“Cabaran untuk memiliki rumah sekarang ialah bagi mendapatkan pinjaman kerana syarat ketat dikenakan Bank Negara.

“Maka kepada mereka yang menghadapi masalah pembayaran deposit atau pinjaman untuk membeli rumah mampu milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau anak syarikat Kerajaan Negeri, boleh memohon skim ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Pangsapuri Mampu Milik Selangorku di Kampung Seri Temenggung, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kerjasama dijalin Kerajaan Negeri melalui PKNS bersama pihak swasta, sasaran pembinaan rumah mampu milik Selangorku telah dicapai melebihi 15,000 unit, tahun ini.

Katanya, Kerajaan Negeri kini meneruskan usaha membina lebih banyak rumah mampu milik dalam pelbagai peringkat serta fasa menghampiri 25,000.

“Projek pembinaan dijayakan PKNS ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang mahu rakyat khususnya berpendapatan sederhana dan rendah termasuk golongan melineal (B40) bagi memiliki rumah berkualiti pada harga mampu milik.

“PKNS mempunyai peranan penting bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan dasar ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :