NASIONAL

SMS SKMM undang rasa jelik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menyatakan rasa jeliknya dengan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada sebahagian rakyat di negara ini.

Katanya, mesej berbunyi ‘Meraikan 20 tahun Akta Komunikasi & Multimedia 1998’ itu tidak sewajarnya dihantar oleh suruhanjaya tersebut.

“SKMM tidak perlu meraikan kewujudan akta itu kerana hakikatnya kes kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih pada 2014 masih belum diselesaikan dan dijelaskan secara terperinci.

“Kejadian lima tahun lalu itu masih belum dipertanggungjawabkan oleh sesiapa, malah tiada penahanan dibuat atas kebocoran itu,” katanya kepada SelangorKini.

Fahmi berkata, tidak sepatutnya sms sebegitu dihantar kepada pemilik telefon bimbit secara rawak sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

“Apa tujuan SKMM sebenarnya, paparan nombor pengirim juga tidak tertera dan lebih penting tiada penjelasan dibuat berhubung penghantaran sms berkenaan.

“Adakah ini amaran atau sekadar nasihat?, SKMM tidak perlu menzalimi rakyat terutamanya dalam era kebangkitan media sosial sekarang,” katanya.


Pengarang :