SELANGOR

SPAN serbu tapak projek disyaki curi air terawat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KEPONG, 16 APR: Dua sambungan bekalan air secara haram oleh kontraktor projek infrastruktur pengangkutan awam dikesan dalam serbuan mengejut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), hari ini.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, perkara itu dikesan selepas pihaknya menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Katanya, tindakan penguatkuasaan di tapak projek berhampiran Jinjang Utara itu dilakukan setelah pihaknya mendapat waran serbuan daripada mahkamah.

“Kita mendapati dua sambungan bekalan air secara haram menggunakan Paip HDPE berukuran 32 mm dan 15 mm.

“Sambungan adalah secara terus daripada paip utama Air Selangor yang terletak berhampiran lokasi tapak pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Kes Sambungan Haram di Jalan Kepong, di sini.

Pit Mui berkata, hal itu masih dalam siasatan dibawah peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Akta itu menegaskan tiada sesiapa selain pemegang lesen boleh membuat sambungan ke saluran paip utama.

“Oleh itu kita akan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pihak kontraktor yang terlibat.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau keduanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya mengalami kerugian lebih RM200,000 bagi tempoh dua tahun ekoran penyambungan haram itu.

“Air Selangor menanggung kerugian kira-kira RM257,448 ekoran sikap tidak bertanggungjawab pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan air tanpa kebenaran,” katanya sambil menambah ia merupakan kes ke 16 kecurian air secara haram bagi tahun ini.


Pengarang :