SELANGOR

SPR alat politik BN kekal kuasa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa menjadi alat politik Umno-Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan parti itu terus kekal berkuasa, kata Ahli Dewan Negeri Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Katanya, beliau percaya wujud agenda tertentu yang dimainkan Umno-BN untuk memperalatkan suruhanjaya itu bagi mencapai kemenangan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia susulan tindakan SPR yang mengumumkan ketetapan tarikh waktu bekerja, pada 9 Mei ini.

Suee Lim berkata, tindakan itu akan menimbulkan senario peratusan keluar mengundi rendah ekoran kegagalan pengundi pulang ke kampung untuk mengundi, pada waktu bekerja.

“Memang sudah dijangkakan BN akan memperalatkan SPR untuk tetapkan tarikh pada hari itu bagi menyusahkan pengundi luar yang mencari nafkah dan hidup di perantauan, terutama anak muda supaya tidak pulang membuang undi.

“Justeru, dengan peratusan pengundian yang rendah sekitar 60 peratus, maka BN akan kekal berkuasa.

“Ini terbukti perancangan tersirat BN untuk kekal berkuasa dan menyelamatkan Najib serta Rosmah,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, SPR menetapkan 9 Mei bersamaan Rabu sebagai tarikh untuk membuang undi.

Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, pada sidang mediannya pagi ini.

Mengikut kelaziman, hari pengundian biasannya jatuh pada waktu cuti hujung minggu, bagi memudahkan orang ramai keluar membuang undi.

Memetik laporan MalaysiaKini, sepanjang sejarah PRU, hari membuang undi ditetapkan pada hari biasa hanya terjadi empat kali iaitu pada 1959, 1982, 1999 dan 1995.


Pengarang :