NASIONAL

SPR lantik pemantau lancar perjalanan PRU14

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 10 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya bagi melancarkan urusan pengundian, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, 445 pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) juga dilantik bertujuan memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Beliau berkata, 259,391 petugas turut dilantik dalam kalangan orang awam untuk pengendalian proses PRU14.

“Manakala, 8,989 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang semuanya mengandungi 28,995 tempat mengundi (saluran) dan dianggarkan memerlukan belanjawan RM500 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PRU14, di bilik mesyuarat utama Menara SPR, di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata, SPR menjemput 14 negara sebagai pemerhati antarabangsa terdiri daripada Badan Pengurusan Pilihan Raya dari negara anggota Asean, Komanwel, Asia dan Eropah serta sebuah pusat kajian juga sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya berpangkalan di Cambridge, United Kingdom iaitu Malaysian Commonwelath Studies Centre (MCSC).

Selain itu, katanya, SPR turut melantik 14 badan bukan kerajaan dan wakil universiti sebagai pemerhati tempatan untuk menjalankan pemerhatian pelancaran proses PRU14, bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan PRU14 dimumkan.

“Pemerhati antarabangsa tempatan dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses perjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.

“Oleh itu, SPR sama sekali tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik untuk memantau serta memerhati proses PRU14 ini,” katanya.

Sementara itu, tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara bagi kategori Borang 1A akan ditutup, pada 28 April ini, manakala tarikh tutup Borang 1C pula pada 23 April.


Pengarang :