NASIONAL

SPR patut bantu calon, bukan rumitkan proses daftar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya bertindak sebagai suruhanjaya adil dan membantu kelancaran proses pendaftaran calon bertanding, kata calon P0.98 Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sekiranya calon berdepan sebarang kesukaran ketika proses pendaftaran dibuat, suruhanjaya berkenaan perlu memainkan peranan terbaik mempermudahkan urusan pendaftaran.

“Peranan SPR harus memainkan fungsinya untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan bukannya menyukarkan calon bertanding.

“Contohnya membabitkan isu Tian Chua, kenapa pendaftarannya dihalang sedangkan di peringkat mahkamah sudah diputuskan kedudukannya.

“Begitu juga calon yang diisytiharkan muflis, sedangkan mereka ini telah membuat semakan dan bagaimana semudahnya status itu ditukar di saat akhir?” soal Mohamed Azmin.

Beliau berkata, pertikaian itu menimbulkan keraguan terhadap SPR sekiranya dipengaruhi tekanan parti politik tertentu.

“Ini semua gara-gara Barisan Nasional yang sudah terlalu terdesak dan SPR perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden yang berlaku ini,” katanya.

Pada hari penamaan calon semalam menyaksikan beberapa insiden halangan penyerahan borang pedaftaran calon bertanding membabitkan calon-calon PAKATAN.

Insiden berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi maasyarakat di media sosial yang mengkritik kredibiliti SPR.

Terdahulu, Mohamed Azmin ditemui media selepas hadir merasmikan Program Tautan Mahabbah Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, di Sri Gombak, hari ini.

=EZY=


Pengarang :