SELANGOR

SPR patut letak lokasi spesifik mengundi

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 17 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan meletakkan lokasi mengundi yang spesifik bagi memudahkan pengundi mengenal pasti tempat pembuangan undi mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata, pengundi di kawasan Seksyen 8, 18 dan 1a kini mengalami kekeliruan ekoran pertukaran nama kawasan mengundi di situ.

“Bagi Seksyen 8, kawasan mengundi ditetapkan adalah Jalan Sungai Jernih di mana penduduk tidak berapa pasti lokasi berkenaan.

“Perkara sama turut berlaku bagi pengundi di Seksyen 18 dan 1a yang mendapat lokasi mengundi di Bangunan KKPL.

“Ramai merungut dan beranggapan ia adalah tempat untuk membuang undi sedangkan itu cuma lokasi sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan aktiviti turun padang untuk memberi penerangan kepada pengundi di Jalan 17/10, Seksyen 17 di sini, hari ini.

Rajiv berkata, SPR sepatutnya meletakkan nama lokasi yang senang dikenali penduduk seperti mengekalkan nama lokasi asal.

“Contohnya, menetapkan lokasi asal seperti Seksyen 8, 18 dan lain-lain kawasan yang senang dikenal pasti pengundi,” katanya.


Pengarang :