SELANGOR

Stadium MPAJ bernilai RM23 juta dengan RM1.3 juta GST

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 APR: Projek Stadium Mini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang menelan belanja RM23 juta turut membabitkan RM1.3 juta bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan Kerajaan Persekutuan.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain, berkata, stadium mini itu dibina sepenuhnya melalui peruntukan MPAJ sendiri.

“Syukur ke hadrat Allah, berkat usaha gigih seluruh warga kerja MPAJ menempuh pelbagai rintangan dan halangan akhirnya stadium ini dapat dibina dan disiapkan serta dirasmikan pada pagi ini dengan peruntukan MPAJ sendiri, bernilai RM23 juta dengan RM1.3 juta GST.

“Pembinaan telah dimulakan pada hujung 2015 dan siap pada bulan April ini,” katanya pada Majlis Perasmian Stadium MPAJ 2018 di Pandan Perdana di sini, hari ini.

Jelasnya, sama seperti projek pembangunan lain, pembinaan stadium itu berjaya dilaksanakan disebabkan keadaan kewangan MPAJ yang baik, langkah penjimatan, ketelusan dan kerja kuat semua pegawai dan kakitangan

Katanya, stadium dilengkapi beberapa ciri teknologi terkini dan mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya lagi, antara ciri terdapat di stadium itu termasuklah penggunaan rumput sintetik untuk memberi penggunaan maksimum kepada pengguna disebabkan sifatnya yang tahan lasak dan boleh digunakan dalam semua keadaan cuaca.

“Adalah diharapkan supaya masyarakat setempat menghargai stadium ini dan menggunakan dengan sebaik mungkin dan tidak melakukan vandalisme atau merosakkanya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :