NASIONAL

SUARAM: SKMM jangan jadi ‘budak suruhan’ Kerajaan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 APR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengkritik tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang melakukan serbuan dan tangkapan terhadap individu, Muhammad Hafiz Rayyan, 24, ekoran memuatnaik dua ‘tweet’ mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, SKMM sepatutnya menjadi suruhanjaya bebas dan bersikap profesional, bukan menjadi ‘orang suruhan’ Kerjaaan.

Beliau mendakwa, tindakan itu juga sebagai cubaan menakutkan rakyat menjelang pilihan raya, sedangkan mereka mempunyai hak untuk bersuara.

“Ini sangat jelas mewujudkan rasa takut kepada rakyat Malaysia khususnya anak muda yang menggunakan media sosial bagi meluahkan pandangan mereka.

“Kita sekali lagi ingin menekankan rakyat mempunyai hak dan kuasa untuk menunjukkan kritikan terhadap sesuatu perkara seperti berlakunya salah laku,” katanya.

Pada 8 April lalu, sekumpulan anggota polis serta wakil SKMM menahan Muhammad Hafiz di rumah bapanya dan dibawa ke Balai Polis Taman Sentosa, Klang.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan tanpa sebarang waran dan telefon bimbit model Iphone 5s turut dirampas.

Lebih mengecewakan, beliau tidak diberikan peluang berunding dengan peguam selain diminta SKMM memberikan nama pengguna (username) dan kata laluan bagi akaun miliknya, @HafizRayyan yang mempunyai 44,000 pengikut.

“Selepas empat jam ditahan saya dibebaskan. Namun, saya mendapat tahu mereka (SKMM) telah menukar kata laluan dan email akaun Twitter saya.

“Saya tidak dapat mengakses akaun itu sehingga membuat permohonan kepada Twitter untuk mendapatkan semula akses kepada akaun saya tiga hari selepas itu,” katanya.

Bagi peguam, Syahredzan Johan pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada SKMM supaya memulangkan semula telefon bimbit milik Muhammad Hafiz sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk tindakan undang-undang.

Menurutnya, SKMM mempunyai kuasa mendapatkan nama pengguna dan kata laluan mana-mana akaun laman sosial tetapi tidak berkuasa untuk mengambilalih serta menukar pemilik akaun.


Pengarang :