BERITA UTAMASELANGOR

SUK sedia pelbagai inisiatif hadapi Revolusi Perindustrian 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 APR: Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melaksanakan program bagi menyediakan tenaga sumber manusia kreatif dalam usaha menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 menerusi elemen 4C.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, elemen 4C itu membabitkan communication, critical thinking dan problem solving, collaboration juga creativity.

Katanya, antara program 4.0 yang dilaksanakan adalah kolaborasi bersama Universiti Selangor (UNISEL)-Dharma Andalas, Majlis Agama Islam Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) dalam bidang Big Data Analytics, cloud computing dan sistem automasi industri.

“Penjawat awam di negeri ini perlu menjadi peneraju dan perintis dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa selangkah, di hadapan.

“Hal itu kerana perkhidmatan awam ketika ini berbeza berbanding 20 tahun lalu, sekali gus menyaksikan cabaran yang dihadapi semakin tinggi. Oleh itu, seharusnya kita juga perlu menjadi semakin dinamik, berdaya tahan dan pragmatik mendepani cabaran,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang, di sini, semalam.

Selain itu, antara inisiatif lain adalah kolaborasi bersama Rejimen 502 askar wataniah dengan menggabungkan kursus asas penguatkuasa dan wataniah yang dilaksanakan Pusat Latihan Awam Selangor.

Mohd Amin berkata, ia bagi memberi pendedahan pengetahuan berkenaan tugas penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Inikelebihan yang akan diperolehi oleh anggota penguatkuasa kerana ditauliahkan sebagai askar wataniah. Kumpulan pertama akan menamatkan kursus, pada Mei ini.

“Selain itu, saya juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk bersama PBT, pejabat daerah serta Jabatan Kerja Raya bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam isu pengurusan air,” katanya.


Pengarang :