BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor hormati kuasa rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 APR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda dan Istana Selangor berada di pihak berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik, di negara ini.

Menerusi perutusan khas dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani, baginda menyatakan kepercayaan dan menghormati kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak selaras sistem Demokrasi Berparlimen serta Raja Berpelembagaan diamalkan, di Malaysia ketika ini.

“Beta tidak ada kaitan dengan apa jua bentuk persaingan politik dan tidak mencampuri urusan politik sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

“Beta juga menegaskan kedudukan Beta sebagai Raja adalah mengatasi politik dan tidak seharusnya dilihat menyokong mana-mana parti politik,” titahnya.

Baginda turut mengingatkan rakyat Selangor supaya tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perbalahan dan kekacauan ketika musim pilihan raya berlangsung.

“Beta berharap Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini dapat dijalankan dengan lancar dan dalam keadaan aman tanpa sebarang kekecohan serta huru-hara dalam kalangan rakyat,” titahnya.


Pengarang :