BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor perkenan bubar Dewan Negeri Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 9 APR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi memberi laluan diadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Istiadat pembubaran diadakan di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah Klang, pagi ini.

Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DNS sebagai simbolik perkenan pembubaran diadakan.

Sebelumnya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan baginda untuk lanjutan proses pembubaran DNS, tepat jam 10 pagi tadi.

Istiadat pembubaran DNS dijalankan selaras ketetapan Perkara LV Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Terdahulu, pembubaran Dewan Rakyat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 April lalu.

Pengumuman berkenaan sekali gus menetapkan perlu diadakan PRU14 bagi tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat, dibuat.


Pengarang :