NASIONAL

Tahniah anak muda gerak #PulangMengundi dan #CarpoolGE14

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 APR: KEADILAN merakamkan penghargaan tahniah kepada pengundi khususnya anak muda yang menggerakkan inisiatif #PulangMengundi dan #CarpoolGE14 sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha dilakukan itu membuktikan keprihatinan mereka bagi melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi dan membawa perubahan kepada negara.

Beliau berkata, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 9 Mei ini sebagai tarikh hari pengundian menimbulkan kemarahan pelbagai pihak kerana dilakukan pada hari bekerja.

“Keputusan SPR mengakibatkan kesukaran kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Selepas menerima desakan demi desakan, kerajaan sementara Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am.

“Begitulah hakikatnya di Malaysia tercinta ini, perubahan harus didesak dan dituntut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KEADILAN menyanjung usaha anak muda menggerakkan inisiatif #PulangMengundi dan #CarpoolGE14 termasuk rakyat yang prihatin menaja kos perjalanan bagi pengundi pulang menunaikan tanggungjawab.

Katanya, begitu juga tindakan syarikat swasta yang bukan sahaja memberikan cuti, malahan elaun perjalanan buat pekerja mereka pulang mengundi.

“Ini adalah bukti gelombang perubahan yang melanda negara tidak dapat disekat dan tiada apa dapat menghalang rakyat melakukan perubahan.

“Pesan saya kepada pengundi, undilah dengan penuh kebijaksanaan kerana keputusan dibuat akan menentukan kehidupan kita buat lima tahun akan datang,” katanya.


Pengarang :