SELANGOR

Tambah baik infrastruktur untuk kemudahan rakyat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 27 APR: Penyandang Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berhasrat menambah baik beberapa infrastruktur, di kawasan Sungai Kandis, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Shuhaimi berkata, beliau sudah menulis surat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk mempertimbangkan cadangannya menaik taraf Jalan Kesas sehingga ke bulatan Batu 5, Jalan Kebun.

“Kita berhasrat melebarkan dari dua lorong kepada empat lorong sepanjang kira-kira 4 kilometer.

“Manakala, jalan kedua adalah di persimpangan Jalan Raya Timur dengan saya bercadang melebarkan di beberapa bahagian menjadi empat lorong hingga di persimpangan Taman Sri Muda kerana jalan itu mengalami kesesakan, pada waktu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika mengadakan lawatan turun padang ke Sungai Kandis, hari ini.

Shuhaimi berkata, beberapa prasarana juga perlu penambahbaikan, termasuk menaik taraf masjid di Kampung Teluk Menegon dan penurapan jalan di beberapa kawasan.

“Bagaimanapun, perkara itu dapat dilaksanakan jika saya menang PRU14,” katanya.

 


Pengarang :