SELANGOR

Tampung belanja pengangkutan buat rawatan susulan di hospital

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 10 APR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han memberi sumbangan bantuan tambang pengangkutan kepada Nor Syahida di Kampung Kenangan di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia adalah sumbangan bagi membolehkan pelajar tingkatan empat itu dapat menjalani pemeriksaan kesihatan susulan daripada pembedahan sakit jantung berlubang dialaminya.

“Selepas pembedahan, dia perlu datang ke Hospital Serdang untuk membuat pemeriksaan susulan setiap minggu, namun bapanya hanya mempunyai motosikal sahaja.

“Maka, atas dasar keprihatinan, saya bersama Pertubuhan Kebajikan Kiwanis menyampaikan sumbangan kewangan bagi membiayai tambang pengangkutan adik Nor Syahida supaya dapat menaiki teksi atau grab,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata, sumbangan diberikan sebanyak RM500 daripada pihaknya manakala RM1,920 daripada pertubuhan terbabit bagi menampung perbelanjaan tambang selama enam bulan.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka sekeluarga. Semoga adik Nor Syahida cepat sembuh dan kembali ke sekolah,” katanya.


Pengarang :