PENDIDIKANSELANGOR

Tangani kes buli, terus buat kebaikan #StandTogether

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 APR: Yang Amat Mulia, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semangat dan inisiatif yang ditunjukkan pelajar serta guru menerusi kempen Minggu Kebaikan Kebangsaan #StandTogether berterusan, dari semasa ke semasa.

Titah baginda, hal itu kerana pembabitan pelajar yang mengambil bahagian dalam membina persekitaran sekolah yang baik sangat membanggakan.

“Mereka adalah individu yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan. Menjadi contoh kepada orang ramai dan boleh dimulakan pada usia muda,” titah baginda.

Baginda menyokong program #StandTogether sejak ia diperkenalkan tahun lalu berkata demikian ketika melawat SMK USJ12 sebagai sebahagian daripada aktiviti kempen berkenaan, baru-baru ini.

Sejak seminggu lalu, pelajar di SMK USJ12 menghimpunkan mesej positif dalam kotak kebaikan (kindess box) yang seterusnya dipaparkan di papan khas, Kindness Board.

Malah, mereka turut mengumpul pencalonan bagi ‘Hero Project’ bertujuan memilih wira dalam kalangan guru dan pelajar yang banyak memberi inspirasi kepada orang lain.

Minggu Kebaikan Nasional yang bermula 2 April lalu menyaksikan pembabitan lebih 620 sekolah yang melaksanakan aktiviti bagi membendung keganasan dan buli.

Sekolah terbabit turut diberi panduan berhubung minggu kebaikan termasuk aktiviti bilik darjah, permainan dan aktiviti peringkat sekolah untuk membanteras kegiatan buli.

Terdahulu, kempen #StandTogether dilancarkan tahun lalu oleh puteri DYMM Sultan Selangor itu adalah satu inisiatif untuk menangani isu buli, di sekolah.

Ia memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan serta mengamalkan nilai positif dalam kalangan murid dan seluruh komuniti di sekolah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat selain kondusif di bilik darjah, sekolah juga masyarakat.

Baginda bertitah, masyarakat perlu bekerjasama dalam menangani dan mencegah isu itu.


Pengarang :