NASIONAL

Tawan Putrajaya: Pakatan hapus Akta Hasutan, gantung mandatori

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 3 APR: Pakatan Harapan sedia menghapuskan beberapa akta dan perundangan bersifat zalim apabila berjaya menerajui tampuk kepimpinan negara, pada Pilihanraya Umum ke-14.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jaminan itu dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan pelaksanaan akta zalim itu disalah guna bagi tujuan kepetingan pihak tertentu.

“Apabila kita menjadi kerajaan, pendirian Pakatan adalah untuk membatalkan undang-undang yang bersikap regresif kepada rakyat, termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Univeristi dan Kolej Universiti 1971.

“Selain itu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948, Akta Majlis Keselamatan Negara berserta hukuman gantung mandatori dalam semua akta.

“Kerajaan Pakatan juga akan memansuhkan peruntukan akta zalim di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan,” katanya pada sidang media bersama pimpinan Pakatan di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, petang ini.

Tun Mahathir berkata, pemansuhan akta itu adalah relevan memandangkan tindakan Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) kini yang tergesa-gesa meluluskan akta baharu di Parlimen.

“Parlimen sekarang sudah menjadi (tempat) sandiwara. Tiada nilai serius apabila mereka tidak beri ruang perbahasan (secara adil). Hanya dua jam sahaja berbahas, kemudian usul diluluskan.

“Ia sudah dibuktikan menerusi langkah Persempadanan Baru dan Akta Berita Palsu yang diluluskan di Parlimen dengan cepat,” katanya.

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul kajian semula persempadanan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia dibahaskan beberapa anggota Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, namun diluluskan secara tergesa-gesa ketika proses persempadanan baru itu masih dalam peringkat prosiding di Mahkamah bagi kawasan Selangor.

Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 turut dibahaskan dan menyaksikan 63 Ahli Parlimen Pakatan menentang pelaksanannya yang dibuat secara tergesa-gesa.

=EZY=


Pengarang :