SELANGOR

Teladani kepimpinan Mohamed Azmin, urus tadbir yang baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi contoh kepada tadbir urus kerajaan yang baik, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahya.

Beliau berkata, pelbagai langkah dan inisiatif diperkenalkan dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Selama dua tahun empat bulan saya menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan menjadi Ex Officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, segala isu masalah yang timbul akan sama-sama dibincangkan dalam semangat musyawarah.

“Ia supaya jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai demi kepentingan rakyat negeri ini. Bak kata peribahasa, di mana tembilan terentak, di situlah cendawan tumbuh. Di mana ada timbul perkara, di situlah perkara diselesaikan.

“Sokongan padu pada beliau terhadap penjawat awam ini amatlah disanjungi. Rasa hormat beliau yang tinggi kepada institusi perkhidmatan awam serta kemurahan hati beliau memberikan bonus lumayan menjadikan beliau amat disayangi oleh warga kerja pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohd Amin berkata, Mohamed Azmin sentiasa memberikan cetusan idea yang bernas buat penjawat awam untuk terus berusaha gigih dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, selain daya kepimpinan yang ditonjolkan.

“Dewan Negeri sudah dibubarkan secara rasminya, maka berakhilah mandat buat Dato’ Menteri Besar dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta wakil rakyat penggal ini.

“Pada kesempatan ini, saya dan seluruh warga kerja pentadbiran Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan seluruh ahli MMKN atas khidmat bakti dalam merencana pembangunan serta mencorakkan masa depan Selangor penggal lalu,” katanya.

Isnin lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuatkuasa Isnin bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan.

Mohamed Azmin mengumumkan perkara itu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, selepas menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memohon perkenan pembubaran DUN.


Pengarang :