BERITA UTAMANASIONAL

Tiada halangan guna logo KEADILAN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 APR: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyambut baik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa tiada halangan mengguna pakai lambang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya bersedia membenarkan penggunaan simbol atau lambang KEADILAN bagi kesemua calon Pakatan Harapan (PAKATAN) yang akan bertanding dalam PRU14.

“Kesediaan kami ini adalah berasaskan semangat setiakawan dan kesepakatan di antara semua ahli untuk membawa perubahan demi Malaysia yang lebih baik.

“KEADILAN turut menggesa semua pengundi untuk segera menyemak tempat mengundi mereka, bersedia untuk pulang membuang undi, serta menjadi sukarelawan ejen mengundi dan ejen mengira (PACA) bagi calon PAKATAN dalam mempertahan demokrasi serta masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataannya berkata, mana-mana calon yang berhasrat bertanding atas tiket PAKATAN dan menggunakan simbol KEADILAN tertakluk kepada kebenaran daripada parti itu sendiri, bukannya SPR.

Namun katanya, SPR mengingatkan bahawa bagi tujuan mengambil bahagian dalam PRU14, parti politik mestilah merupakan parti yang didaftarkan dan dibenarkan menjalankan segala aktivitinya di bawah Akta Pertubuhan 1966.


Pengarang :