Selangorkini
NASIONAL

Tian Chua lapor polis, SPR didakwa hina mahkamah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SENTUL, 28 APR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghina keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sepatutnya membenarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU14), ini.

Beliau berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan utama terhadap kredibiliti suruhanjaya itu dalam mengurus sistem pilihan raya adil di negara ini.

Tegas Tian, isu penolakan pencalonan sepatutnya tidak timbul memandangkan beliau pernah menghadapi situasi hampir sama pada PRU lalu, namun masih dibenarkan bertanding sebagai calon.

“Bagaimana sebuah agensi yang sama membuat dua keputusan yang berbeza pada pilihan raya sama membabitkan isu yang sama sebelum ini?

“Dalam kes terdahulu (PRU13) lalu, saya juga menghadapi tuduhan dan dakwaan denda RM2,000 oleh mahkamah, tetapi masih dibolehkan bertanding.

“Tetapi untuk proses pencalonan tahun ini, mengapa SPR menafikan hak pencalonan saya walaupun denda dalam kes baru-baru ini juga adalah kurang di bawah kadar RM2,000.

“Tindakan penolakan ini jelas satu penghinaan kepada mahkamah yang sepatutnya membenarkan saya untuk bertanding sebagai calon,” katanya.

Lebih mengecewakan kata Tian, SPR gagal memberikan penjelasan menyeluruh berhubung keputusan penolakan itu.

“Saya telah berbincang bersama peguam dan pimpinan parti untuk mengemukakan bantahan dan inkuiri baru.

“Kita berharap SPR lebih bersifat telus, seterusnya Pengerusi SPR boleh memberikan penjelasan lanjut berhubung keputusan penolakan ini,” tegasnya.

Awal pagi ini, Tian Chua yang sepatutnya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PAKATAN) atas tiket KEADILAN bagi kerusi Parlimen Batu, Kuala Lumpur.

Difahamkan penolakan dibuat SPR berkait kes Mahkamah Tinggi Shah Alam, melibatkan denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Tian sebelum ini menjadi wakil rakyat bagi tempoh dua penggal selepas berjaya menewaskan calon Barisan Nasional pada dua pilihan raya lalu.

Terdahulu, Tian ditemui pemberita selepas hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sentul, petang ini.

=EZY=

 


Pengarang :