NASIONAL

TNB pastikan bekalan elektrik lancar sepanjang PRU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 APR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 200 pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi berada dalam keadaan baik sepanjang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Ketua Pegawai Korporatnya, Dato’ Roslan Ab Rahman berkata, pihaknya membuat persiapan seawal November tahun lalu dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi terbabit sentiasa terjamin sepanjang musim PRU.

Katanya, TNB telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat berkenaan.

“Hasil pertemuan itu, kita telah mengambil langkah yang diperlukan supaya semuanya berada dalam keadaan terkawal.

“Selain itu, bilik gerakan juga ditubuhkan di setiap negeri dan pusat atau ibu pejabat.

“Bagi memastikan kelancaran bekalan sepanjang proses PRU nanti, warga kerja teknikal TNB akan diletakkan dalam keadaan tunggu sedia sebagai langkah tambahan,” katanya dalam kenyataan.

=EZY=


Pengarang :