BERITA UTAMANASIONAL

Tolak Umno-BN, nikmati perubahan bersama PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

BUTTERWORTH, 22 APR: Pilihan raya umum ke 14 (PRU14) menjadi medan terbaik untuk rakyat menolak Umno-Barisan Nasional (BN) supaya dapat menikmati perubahan pentadbiran kerajaan di Putrajaya bersama Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat perlu menjatuhkan Umno-BN diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam PRU kali ini akibat pelbagai masalah termasuk penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

“Umno sendiri hari ini yang dijaga bukan orang Melayu tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Ia berbeza dengan era Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn yang membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Pulau Pinang ketika bersarapan bersama rakyat di Medan Selera Taman Air Tawar Indah di sini, hari ini.

Bagi merealisasikannya, Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, rakyat perlu bertindak dalam PRU dan memberi kemenangan kepada PAKATAN supaya segala kerosakan dilakukan Umno-BN dapat diperbetulkan.

Katanya, sekiranya ia tidak berlaku maka rakyat mungkin mengambil terpaksa menunggu tempoh masa yang lama selepas ini untuk melihat kejatuhan Umno-BN.

Bagaimanapun dengan keadaan sokongan rakyat masa ini, beliau berkata, adalah jelas bahawa Umno-BN kini bagaikan berada di penghujung tempoh untuk mengekalkan kuasa.

“Kini kita bukan sahaja bakal melihat tusnami Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain tetapi gelombang rakyat melawan Najib dalam PRU nanti.

“Keadaan berlaku ketika ini juga menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada usia 93 tahun sepatutnya berehat tetapi Allah berikan kesihatan baik untuk berjuang bersama rakyat menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Pentadbiran Umno-BN diterajui Najib mendapat kritikan umum kerana skandal 1MDB yang turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa selain langkah mempraktikkan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat.

=EZY=


Pengarang :