SELANGOR

Tourism Selangor sasar tarik 400,000 pelancong Arab

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 APR: Tourism Selangor mensasarkan menarik 400,000 pelancong Arab ke Selangor tahun ini menerusi Arabian Travel Market (ATM) 2018.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu capai berdasarkan statistik 2017 yang menyaksikan 360,749 pelancong dari Timur Tengah itu menjejakkan kaki ke Selangor.

Katanya, ATM 2018 yang sedang berlangsung 22 hingga 25 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai itu menjadi landasan terbaik pihaknya mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan paling utama.

“Antara lain, ATM 2018 juga bertujuan mengukuhkan aktiviti pemasaran serta menyebarkan kempen #Discover Selangor, #TakeMeAnywhere secara komprehensif di Timur Tengah.

“Peluang bertukar pandangan dengan rakan dari negara lain merupakan satu perkara yang amat bagus di samping membantu menjana lebih banyak pasaran masuk ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Noorul berkata, ATM 2018 menyediakan peluang terbaik buat Selangor mewujudkan rangkaian hubungan lebih luas selain menjalin perkongsian pintar dan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa serta pengendali pelancongan tempatan.

“Selain Tourism Selangor, delegasi dari Selangor seperti Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) turut terlibat dalam ATM 2018.

“Penglibatan MDHS dan MDKL tahun ini ingin mempromosikan daya tarikan utama iaitu Eco-Adventures seperti aktiviti Paragliding, White Water Rafting dan Bird Watching,” katanya.

Manakala, Noorul berkata, Tourism Selangor turut mempromosi Pesta Kesenian Antarabangsa (SIIAF 2018) yang terus menjadi tangga teratas dalam tentatif buat pelancong Arab.

“Selain itu, Tourism Selangor akan melancarkan ‘Buku Pelancongan Pelancong Arab Selangor 2018’ versi Arab semasa taklimat produk dan media di Pavilion Tourism Malaysia.

“Direktori perjalanan informatif dan interaktif dalam bahasa Arab membolehkan pelancong dari Timur Tengah mencari maklumat mengenai destinasi pelancongan di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel and Spa, Hotel Concorde Shah Alam dan Istana Golden Horses turut hadir ke ATM 2018 bagi mempromosikan beberapa tarikan serta destinasi terkini negeri untuk membeli-belah, keseronokan keluarga, eko-adventure, golf, bulan madu dan percutian mewah.

 

 

 


Pengarang :