PELANCONGANSELANGOR

Tourism Selangor tawar penginapan serendah RM99

OLEH NADIAH ZAMLUS

BUKIT FRASER, 24 APR: Tourism Selangor menawarkan penginapan serendah RM99, di Rumah Rehat Sri Berkat (RRSB) sehingga hujung tahun ini.

Uniknya, RRSB kendalian Tourism Selangor itu bercirikan bangunan ala klasik Inggeris yang dibina sejak 1926.

Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Saleh berkata, reka bentuk RRSB pastinya menggamit pelancong untuk meluangkan masa, di Bukit Fraser.

“Cuaca di sekitar RRSB juga agak dingin berbanding tempat lain dengan waktu pagi dan petang dipenuhi kabus.

“Sehingga kini, RRSB mendapat sambutan hangat, pada hujung minggu kerana harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding lokasi penginapan lain,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mengikut sejarah, RRSB didirikan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) khas buat bekas tentera, pada 1914 hingga 1918.

Ia adalah salah satu tanda terima kasih kepada Tanah Melayu, pada waktu itu atas layanan dan kerjasama diberikan ketika zaman pemerintahan mereka di luar negeri, pada zaman peperangan.

Fadhirul berkata, banglo RRSB mempunyai sembilan bilik dan mampu menempatkan lebih daripada 40 tetamu, pada satu masa.

Katanya, berbeza dengan hotel lain, kesemua bilik di RRSB tidak mempunyai penghawa dingin mahupun kipas.

“Keadaan bertambah sejuk pada waktu malam, jadi tidak hairanlah ruang tamu dan sesetengah bilik kami dibina alat pendiang api serta mempunyai cerobong asap sama seperti rumah juga bangunan di negara barat yang mengalami musim sejuk serta salji,” katanya.

Terbaru, RRSB menawarkan pakej perkahwinan dari RM2,999 hingga RM3,999, termasuk pakej fotografi, video, pakaian, mekap dan tidak ketinggalan pakej penginapan bilik bulan madu.


Pengarang :