NASIONAL

Tun M serang Najib, Muhyiddin dakwa status Umno kini ‘haram’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 24 APR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan segala peluang dan cara yang ada untuk kekal berkuasa termasuk memberikan kad pengenalan palsu kepada bukan warganegara.

Menurutnya, rakyat perlu keluar mengundi bagi menyumbang kepada jumlah kemenangan besar dengan majoriti sekitar 10,000 hingga 20,000 kerana undi mereka sangat berharga kini.

“Sekarang pun saya fikir dia (Najib) akan keluarkan kad pengenalan biru bagi kepada orang bukan warganegara untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Sebab itu kita perlu keluar (mengundi) beramai-ramai, ajak seluruh keluarga datang dan jika hujan, kita pakai payung supaya mengundi satu simbol (KEADILAN), tak payah undi yang lain,” katanya.

Bercakap pada Jelajah Harapan Selangor di Stadium Majlis Daerah Kuala Selangor semalam beliau turut memberi amaran BN mungkin membeli calon mereka pada hari penamaan calon nanti sebagai antara kaedah menggagalkan Pakatan Harapan.

Katanya, kerosakan yang dilakukan kepimpinan Najib Razak terhadap negara tidak boleh diperbetulkan lagi jika Barisan Nasional terus mencapai kemenangan.

“Pada hari menamakan calon, ada besar kemungkinan Najib akan membeli calon-calon kita ataupun dia akan menyekat calon daripada sampai ke tempat penamaan calon dan lain-lain perkara termasuk tidak mengiktiraf Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA) kita, pencadang serta penyokong calon kita.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan oleh Najib, yang tidak mengikut undang-undang keranan dia tidak hormati undang-undang sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Umno berkemungkinan besar menjadi sebuah parti yang ‘diharamkan’ susulan penagguhan pemilihan lebih 18 bulan.

Selaku bekas Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno beliau berkata, tempoh 18 bulan itu sudah berakhir beberapa hari lalu dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sendiri tidak boleh memanjangkan tempoh penangguhan pemilihan walaupun sehari.

“Umno tidak mengadakan persidangan agung dan pengikut Perkembagaan Umno tidak ada peruntukan untuk ditambah (tempoh penangguhan pemilihan) walaupun sehari.

“Tak mungkin Pendaftar Pertubuhan ada kuasa dalam Akta Pertubuhan atau mana-mana peruntukan yang membolehkan ROS menyambung sehari hayat Umno.

“Bermakna Umno seharusnya sudah terbatal, Umno sudah tidak ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden hatta Ketua Cawangan,” katanya.

“Bermakna Umno seharusnya sudah terbatal, Umno sudah tidak ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden hatta Ketua Cawangan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :