NASIONAL

Tun M: Warga Felda dah sedia bersama PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 APR: Angin perubahan menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) hari ini semakin dirasakan di mana-mana sahaja dengan turut melibatkan kawasan pendalaman seperti Felda khususnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perubahan sikap ini dapat dilihat berikutan sambutan diberikan warga Felda sangat berbeza dengan sambutan diberikan sebelum ini.

“Dahulu masyarakat Felda dianggap pengundi setia Umno dan BN. Tetapi setelah beberapa skandal dan sikap tak bertanggungjawab pemimpin Umno terhadap kebajikan mereka, warga Felda sudah bersedia memberi kepercayaan mereka kepada PAKATAN.

“Setiap kali Jelajah Harapan Felda kami adakan, kehadiran dan sokongan amat luar biasa dan semalam warga Felda di sekitar Johol dan Kuala Pilah membuktikan mereka bersama-sama warga Felda lain meletakkan masa depan mereka bersama PAKATAN,” kata Mahathir pada satu status halaman rasminya di media sosial facebook.

Jelasnya, PAKATAN berjanji akan melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya bagi membalas kepercayaan rakyat.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman dalam satu sidang media berkata, wujud sentimen kuat dalam kalangan generasi kedua peneroka Felda untuk melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

“Perkembangan terkini memberi peluang buat PAKATAN menang di 20 daripada 54 kawasan parlimen di kawasan tanah Felda seluruh negara bertambah cerah,” katanya.

Terdahulu, siri jelajah PAKATAN ke seluruh negara mendapat sambutan luar biasa termasuk di kawasan Tanah Rancangan Felda dengan dihadiri ribuan orang setiap kali diadakan.

Sehingga kini jelajah itu telah diadakan di Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan beberapa negeri lain.

=EZY=


Pengarang :