EKONOMINASIONAL

Tunku Shazuddin Ariff pengerusi baru Naza Italia Sdn Bhd

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 APR: Anak syarikat Naza Corporation Holdings, Naza Italia Sdn Bhd mengumumkan perlantikan Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin sebagai pengerusinya yang baharu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, SM Nasaruddin SM Nasimuddin, berkata kepakaran dimiliki Tunku Shazuddin mampu memberi nilai tambah dan amalan tadbir urus korporat yang baik kepada Naza Italia.

“Kami yakin Tunku Shazuddin akan memberikan kepimpinan yang berkesan untuk memacu Naza Italia ke arah mencapai kejayaan jangka panjang dan memberikan nilai mampan kepada Kumpulan Automotif.

“Tunku Shazuddin akan menjadi penasihat utama mengenai hala tuju strategik bagi memacu Naza Italia sebagai pengedar rasmi Ferrari dan Maserati di Malaysia dan terus menjadi pengedar utama di Asia Tenggara,” katanya memetik laporan BH Online.

Tunku Shazuddin mempunyai latar belakang kejayaan dan pengalaman dalam sektor awam dan swasta selepas berkhidmat dengan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Pada 2005, beliau menubuhkan agensi korporatnya yang menerajui pelantikannya sebagai pemegang saham utama bagi Rethink Sdn Bhd dan Reka 3 Sdn Bhd.

Tunku Shazuddin juga menawarkan perkhidmatan perundingan kepada pelbagai jabatan kerajaan menerusi pengambilalihan teknologi dan pembiayaan baru untuk aktiviti pertanian dan pelancongan, selain memberikan pandangan dan nasihat sebagai Ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat.

Ketika ini, Tunku Shazuddin berkhidmat sebagai Pengarah Seri Libana Sdn Bhd dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Food Bhd dan berkelulusan Kansas Wesleyan University.

Sementara itu, Groupe PSA, rakan usaha sama Naza Corporation Holdings turut mengumumkan pelantikan Laurence Noël sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Manufacturing (NAM).

Selain memegang jawatan CEO, Laurence Noël juga dilantik sebagai Naib Presiden Kanan Groupe PSA bagi ASEAN berkuatkuasa 1 Mei 2018.

Dengan kedudukannya berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau akan ditugaskan untuk mempercepatkan pembangunan Groupe PSA di Asia Tenggara seperti diumumkan dalam pelan ‘Push to Pass’ pada 2016.

=EZY=


Pengarang :