SUKANKINI

UCL: Bayern Munich sedia hadapi ancaman Sevilla

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 APR: Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich mahu mengekalkan prestasi cemerlang dengan kemenangan walaupun akan berhadapan ribuan penyokong Sevilla dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Dengan kemenangan besar 6-0 yang dilakar ke atas musuh tradisi, Borussia Dortmund hujung minggu lalu, Bayern pastinya mahu menjadikan Sevilla mangsa seterusnya.

Tambahan pasukan daripada Sepanyol itu baru sahaja dikecewakan pendahulu La Liga, Barcelona apabila seri 2-2 walaupun mendahului 2-0 sehingga minit ke-88.

Kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu di peringkat Eropah tetapi Bayern mempunyai rekod buruk dengan lima kekalahan dalam kunjungan ke Sepanyol.

Sevilla pastinya mahu terus mencipta kejutan selepas menyingkirkan Manchester United di Old Trafford bulan lalu hasil dua jaringan Wissam Ben Yedder yang masuk sebagai pemain gantian.

Rangkaian serangan Bayern yang diketuai Robert Lewandowski bersama Thomas Muller, James Rodriguez, Arjen Robben dan Frank Ribery pastinya mampu mendominasi permainan serta mencetak jaringan besar.

Bagi Jurulatih Sevilla, Vicenzo Montella, pasukannya tiada pilihan selain menyiapkan fizikal dan mental apabila terpaksa beraksi dalam perlawanan besar dalam tempoh tiga hari.

“Kami (Sevilla) tidak biasa bermain perlawanan peringkat tertinggi dalam tempoh tiga hari. Dalam peringkat tertinggi bola sepak, minda akan menggerakkan kaki sama ada penat atau tidak. Tapi segalanya baik buat kami.

“Bayern suka menguasai bola dan menjadi kebiasaan menjaringkan banyak gol. Kita akan memberikan tekanan sehingga memaksa mereka bertahan,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Bayern, Jupp Heynckes melaungkan amaran pasukannya tidak akan bermain hanya untuk mencapai keputusan seri 0-0 sebaliknya mahu mencipta kemenangan.

“Berdasarkan sejarah kita sudah berkasi di hadapan ribuan penyokong lawan dengan pelbagai suasana. Pemain saya tidak takut dengan sokongan padu penyokong Sevilla.

“Kita berhati-hati kerana keputusan 0-0 boleh mendatangkan bahaya seperti yang berlaku terhadap Manchester United,” katanya.

=EZY=


Pengarang :