SUKANKINI

UCL: Kecemerlangan Ronaldo bawa jaringan selesa Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 4 APR: Cristiano Ronaldo memastikan Real Madrid membawa jumlah jaringan selesa pada aksi pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Juventus 0-3.

Pemain Portugal itu meledak jaringan seawal minit ketiga apabila berjaya menampan hantaran Isco bagi meletakkan Real Madrid di hadapan 0-1.

Bersambung babak kedua, Ronaldo menjadikan kedudukan 0-2 buat Real Madrid apabila melakukan sepakan gunting yang berjaya menewaskan penjaga gol, Gianlugi Buffon pada minit ke-62.

Ini merupakan jaringan ke-10 berturut-turut buat penyerang Real Madrid itu dalam kancah UCL musim ini.

Malang menimpa Juventus pada minit ke-66 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Paolo Dybala diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua perlawanan.

Peluang itu dimanfaatkan skuad bimbingan Zinedine Zidane apabila Marcelo meledak gol ketiga Real Madrid pada minit ke-72 selepas memperdaya Buffon sebelum mudah menolak bola ke gawang lawan.

Kedudukan 0-3 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan akan bertemu di Santiago Bernabeu bagi perhitungan kedua minggu hadapan.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 


Pengarang :