SUKANKINI

UCL: Liverpool selesa belasah Man City 3-0

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 5 APR: Liverpool menyentap ego Manchester City apabila membelasah pendahulu Liga Perdana Inggeris 3-0, pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Mohamed Salah membuka pesta gemilang Liverpool seawal minit ke-12 apabila berjaya meledak gol pertama perlawanan hasil gerakan bersama Roberto Firmino menerusi satu serangan balas pantas yang berjaya mengucar-kacirkan pertahanan City.

Belum sempat City memperkemas permainan, Oxlade-Chamberlain menjadikan kedudukan 2-0, pada minit ke-21 hasil rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol, Ederson Moraes.

Sadio Mane menambah derita City, pada minit ke-31 apabila menanduk masuk hantaran Mohamed Salah bagi gol ketiga The Reds, sekali gus menggamatkan suasana malam saingan eropah, di Anfield.

Malang buat Liverpool apabila terpaksa mengeluarkan penyerang, Mohamed Salah pada minit ke-52 selepas pemain Mesir itu mengalami kecederaan.

City yang menguasai permainan pada babak kedua gagal memecah kebuntuan jaringan ekoran kekebalan benteng pertahanan Liverpool yang diketuai Virgil van Dijk.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat permainan dan perlawanan timbal balik kedua akan dilangsungkan di Stadium Eitihad minggu hadapan.

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :