SUKANKINI

UCL: Roma selesaikan ‘Italian Job’ singkir Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 11 APR: Roma melakukan kebangkitan penuh dramatik untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menyingkirkan Barcelona dengan kelebihan gol tempat lawan selepas menang selesa 3-0.

Barcelona yang turun dengan kemenangan 4-1 pada aksi pertama minggu lalu buntu dengan corak permainan penuh disiplin dipamerkan Roma.

Edin Dzeko memulakan detik kebangkitan Roma menerusi jaringan seawal minit keenam selepas berjaya menyambut hantaran jauh Daniele De Rossi bagi kedudukan 1-0.

Barcelona cuba bangkit menerusi dua sepakan percuma Lionel Messi tetapi gagal mendatangkan bahaya ke gawang Roma.

Sebaliknya, Gerarad Pique melakukan kesilapan pada minit ke-57 apabila menjatuhkan Dzeko di dalam kotak penalti dan De Rossi tidak mempersiakan peluang untuk memastikan Roma selesa mendahului 2-0.

El Shaaraway hampir menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-78 tetapi tampanan beliau di hujung gawang berjaya ditepis keluar penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.

Konstantinos Manolas muncul wira Roma dengan gol ketiga selepas berjaya menanduk masuk sepakan sudut Cengiz Under pada minit ke-82 bagi kedudukan 3-0.

Barcelona cuba mengasak mencari sekurang-kurangnya satu gol tetapi Roma berjaya bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan agreget 4-4 bagaimanapun memihak Roma apabila berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan pertama sekali gus menghampakan harapan Barcelona.


Pengarang :