SUKANKINI

UCL: Salah cemerlang bantu Liverpool atasi Roma 5-2

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 25 APR: Mohamed Salah terus mempamerkan kecemerlangan apabila membantu Liverpool menewaskan kelab lamanya, Roma 5-2 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield, awal pagi tadi.

Baru sahaja dinobatkan selaku Pemain Terbaik PFA, Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan 1-0 seawal minit ke-36 apabila berjaya melakukan rembatan tepat menewaskan penjaga gol, Alisson Becker.

Salah menggandakan jaringan buat The Reds pada penghujung babak pertama apabila menyudahkan lorongan Roberto Firmino sebelum menewaskan Alisson sekali lagi bagi kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, Sadio Mane menjadikan kedudukan 3-0 selepas mudah menampan hantaran Mohamed Salah pada minit ke-56.

Masuk minit ke-61, giliran Mohamed Salah membantu Firmino menjadikan kedudukan 4-0 apabila hantarannya mudah disambut penyerang dari Brazil itu.

Kedudukan Liverpool menjadi lebih selesa pada minit ke-69 apabila mendahului 5-0 menerusi Firmino yang menjaringkan gol keduanya selepas menanduk sepakan penjuru James Milner.

Edin Dzeko merapatkan kedudukan 5-1 buat Roma di minit ke-81!apabila berjaya mengawal hantaran Radja Nainggolan sebelum mudah menewaskan Loris Karius di gawang Liverpool.

Kedudukan menjadi 5-2 buat Roma pada minit ke-85 selepas Diego Perotti mudah menyempurnakan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada separuh akhir kedua di Itali, 3 Mei hadapan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League


Pengarang :