SUKANKINI

UCL: Salah-Firmino pastikan Man City tersingkir

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 11 APR: Mohamed Salah dan Roberto Firmino memastikan kebangkitan Liverpool mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan Manchester City 1-2, awal pagi tadi.

City yang ketinggalan menerusi agreget 3-0 pada aksi pertama bagaimanapun mempamerkan corak menyerang awal permainan berjaya membuka jaringan 1-0 seawal minit kedua menerusi Gabriel Jesus.

Bermula dengan kesilapan Virgil van Dijk yang mendakwa ditolak Raheem Sterling, barisan tengah City berjaya memintas barisan pertahanan Liverpool untuk melorongkan bola ke kawasan penalti dan Jesus tenang merembat bola ke gawang untuk gol pertama perlawanan.

Mereka menguasai hampir 60 peratus aksi babak pertama hampir menggandakan jaringan menerusi Bernardo Silva tetapi percubaanya tepat ke tiang gol Liverpool.

Nasib tidak menyebelahi City apabila gol Leroy Sane di penghujung babak pertama dibatalkan kerana pengadil mendapati Sterling terlebih dahulu mengasari penjaga gol Liverpool, Loris Karius.

Malang buat City apabila jurulatihnya, Pep Guardional diperintah meninggalkan bangku pemain simpanan di awal babak kedua selepas beliau membantah keputusan pengadil ketika penghujung babak pertama berakhir.

Sebaliknya nasib berbeza memihak Liverpool apabila berjaya menjaringkan gol di tempat lawan menerusi Mohamed Salah pada minit ke-56 selepas berjaya merampas bola yang gagal ditangkap kemas Ederson Moraes.

Disaat City ghairah mencari gol kedua, Roberto Firmino menghukum kesilapan pertahanan lawan apabila berjaya merampas bola sebelum tenang melakukan sepakan rendah bagi kedudukan 1-2 buat Liverpool di minit ke-77.

Liverpool ke separuh akhir dengan agreget 5-1 dan kekalahan ketiga berturut-turut buat City dalam tempoh seminggu.


Pengarang :