SUKANKINI

UEL: Tuan rumah bawa bekalan jaringan selesa

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 6 APR: Semua pasukan tuan rumah, Arsenal, Atletico Madrid, Lazio dan RB Leipzig mencatatkan kemenangan selesa, pada peringkat pertama suku akhir Piala Europa (UEL), awal pagi tadi.

Arsenal menewaskan CSKA Moscow 4-1, di Stadium Emirates menerusi dua jaringan Aaron Ramsey dan Alexandre Lecazette.

Ramsey membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang, pada minit kesembilan hasil hantaran Hector Bellerin.

CSKA Moscow bangkit menyamakan kedudukan 1-1, pada minit ke-15 hasil sepakan percuma Aleksandr Govin.

Lecazette menjadikan kedudukan 2-1, pada minit ke-23 selepas menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran pertahanan lawan terhadapnya.

Belum sempat CSKA Moscow mengatur langkah, Ramsey menjadikan kedudukan 3-1 apabila melakulan lambungan bola ke gawang lawan selepas berjaya melepasi perangkap offside pada minit ke-28.

Gol keempat Arsenal hadir, pada minit ke-35 sekali lagi menerusi tolakkan muda Lacazette bagi kedudukan 4-1, pada babak pertama.

Ramsey hampir melengkapkan hatrik, pada babak kedua tetapi percubaannya sekadar singgah ke tiang gol lawan.

Di Sepanyol, Atletico Madrid mudah menewaskan Sporting Lisbon 2-0 hasil jaringan Koke seawal minit pertama perlawanan dan disusuli gol kedua Antoine Griezmann, pada minit ke-40.

Lazio mempamerkan kebangkitan cemerlang menerusi dua gol, pada 15 minit akhir permainan bagi mengekang kebangkitan Salzburg dengan kemenangan 4-2, di Itali.

Senad Lulic membuka jaringan, pada minit kelapan buat Lazio sebelum Valon Berisha menyempurnakan penalti pada minit ke-30 bagi kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Marco Parolo meletakkan Lazio kembali di hadapan, pada minit ke-49 tetapi Takumi Minamino menjadikan kedudukan 2-2, pada minit ke-71.

Felipe Anderson menjaringkan gol ketiga Lazio, pada minit ke-74 dan Ciro Immobile memastikan bekalan selesa tuan rumah dengan gol keempat dua minit kemudian.

Dalam satu lagi aksi di Jerman, jaringan tunggal Timo Werner pada penghujung babak pertama sudah cukup buat RB Leipzig mengecewakan wakil Perancis, Olympique Marseille dengan keputusan 1-0.

Kredit Foto: UEFA Europa League


Pengarang :