NASIONAL

Umno-BN panik berdepan PAKATAN dalam PRU14

OLEH HAFIZAN TAIB

PADANG SERAI, 21 APR: Umno-Barisan Nasional (BN) diyakini berada dalam keadaan panik bagi menghadapi cabaran Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya umum ke 14.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pembuangan undi pada Rabu, 9 Mei iaitu pada hari bekerja menguatkan andaian itu.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kini dalam keadaan cukup panik dan ada seorang menteri kabinet bertemu saya, memaklumkan mereka amat panik kerana mendapat maklumat rakyat akan melakukan satu tsunami besar pada 9 Mei untuk menolak Umno-BN.

“Maka sebab itu terpaksa diadakan hari mengundi pada Rabu (9 Mei), ini satu tindakan tidak bertanggungjawab dan bila rakyat marah dan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) buat kenyataan, akhirnya beliau (Perdana Menteri) terpaksa mengalah lalu menberi cuti,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam Labu Besar, di sini, malam tadi.

Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang PRU14.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, seharusnya hari mengundi untuk orang ramai perlu dijalankan pada hujung minggu kerana pembuangan undi awal boleh diadakan pada Sabtu (5 Mei).

Katanya, ia jelas kerajaan pimpinan Umno-BN diketuai Najib sudah nazak dan tidak mahu rakyat mengundi kerana seandainya peratusan keluar mengundi rendah, penipuan akan menguasai keadaan dengan SPR didakwa diarah untuk menipu dalam PRU14.

“Maka saya mengajak seluruh rakyat Kedah supaya keluar beramai-ramai (untuk mengundi).

“Bukan 60, 70, 80 peratus tetapi saya mahu sekurang-kurangnya 90 peratus agar kita korban Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Naib Presiden PAKATAN itu.

=EZY=


Pengarang :