PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL anjur Minggu Perakaunan dedah kerjaya akauntan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 APR: Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FBA) Universiti Selangor (UNISEL) menganjurkan Accounting Week (UAW) 2018 bagi memberi pendedahan kerjaya sebagai akauntan di dunia luar.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, program selama enam hari itu diadakan di Dewan Pro Canselor UNISEL kampus Shah Alam bermula 16 hingga 21 April ini.

“Pendedahan dunia pekerjaan amat penting kepada pelajar sebelum mereka menamatkan pelajaran supaya dapat memberi gambaran hala tuju sebenar ketika di luar nanti.

“Objektif program adalah untuk meningkatkan keyakinan para pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malah sebagai persediaan untuk menghadapi dunia kerjaya kelak,” katanya dalam kenyataan.

Antara intipati program UAW adalah seminar perakaunan yang disampaikan daripada Institut Perakaunan Negara, Mohd Zawawi Mohd Muhiddin dan Jabatan Akauntan Negeri Selangor oleh Faridah Md Noor.

Selain itu, turut berlangsung aktiviti program senamrobik, forum dan bicara kerjaya.


Pengarang :