SELANGOR

UNISEL, IDE jalin kerjasama perkukuh penyelidikan di Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 APR: Universiti Selangor (UNISEL) dan Institut Darul Ehsan (IDE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam sektor pendidikan, penyelidikan dan pertukaran kepakaran, hari ini.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hal ini antara usahanya menjalinkan hubungan strategik untuk jangka panjang dalam bentuk penganjuran program antaranya dari segi intelektual, projek berimpak tinggi dan kegiatan penyelidikan.

“Kita merangka untuk menjalankan kegiatan penyelidikan yang boleh memberi sumbangan besar kepada dunia akademik dalam negara khususnya di negeri ini.

“Sebagai sebuah institusi pemikir yang ditubuhkan oleh Kerajaan Selangor, UNISEL akan terus bekerjasama dengan IDE untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dalam menggerakkan aktiviti dan program kemasyarakatan.

“Walaupun IDE masih baharu tetapi institusi ini banyak menghasilkan program dan kegiatan yang memberi manfaat kepada masyarakat”, katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi IDE.

Perjanjian persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor, Prof Dr Mohd Nor Nawawi, disaksikan Pendaftar bagi pihak UNISEL, Shamsul Azhar manakala Lembaga Pengarah IDE, Dato’ Kamaruddin Jaafar menandatangani bagi pihak IDE disaksikan Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Operasi IDE, Sharifudin Muis.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, melihat masyarakat sekarang cenderung terhadap akademik penyelidikan, IDE merangka untuk membuka kaedah dan pendekatan bidang penyelidikan baharu bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.

=EZY=


Pengarang :