SELANGOR

Warga Ampang terima bantuan kebajikan lebih RM70,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 14 APR: Kerajaan Selangor menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM70,000 kepada warga Ampang sebagai komitmen jaminan berkebajikan pentadbiran negeri terhadap rakyat di kawasan itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan berupa pembiayaan kewangan bagi tanggungan keperluan sara diri, perubatan, pendidikan dan kos operasi diserahkan kepada golongan memerlukan.

“Diharap sedikit bantuan kewangan ini boleh membantu meringankan beban rakyat yang terpaksa berdepan kemelut kos sara hidup di peringkat Persekutuan.

“Bagaimanapun, sejak saya menerajui kepimpinan negeri sebagai Dato’ Menteri Besar, tanggungjwab saya bukan hanya mahu memakmurkan negeri sahaja.

“Tetapi saya mahu Selangor menjadi negeri berdaya saing tanpa meminggirkan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Membangun Bangsa, Memakmur Negeri kepada penduduk Kampung Melayu Tambahan Ampang, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, bantuan turut diserahkan kepada Badan Bukan Kerajaan, Persatuan Perduduk, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan komuniti setempat.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Selangor pelbagai dasar berkebajikan di diperkenalkan bagi membantu segenap lapisan masyarakat Selangor.

Mohamed Azmin berkata, ia termasuklah pelaksanaan agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mefokuskan kepada golongan sasar di Selangor.

=EZY=

 


Pengarang :