PBTSELANGOR

Warga kerja MPKj agen reformasi kecemerlangan komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 12 APR : Warga kerja Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memainkan peranan terbaik untuk membawa perubahan reformasi kepada pembangunan komuniti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, ia menjadi manifestasi terbaik untuk menggalakkan komuniti perbandaran meningkatkan jaringan perhubungan bersama MPKj.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya membabitkan semua kepimpinan daripada peringkat tertinggi hingga bawahan.

“Justeru, warga MPKj dan komuniti harus berkerjasama untuk memastikan kesejahteraan ini dapat diseimbangkan bagi memastikan kecemerlangan dapat dizahirkan secara berkesan.

“Apa yang lebih penting, ia sekali gus dapat memastikan hala tuju dan kecemerlangn MPKj dapat dikekalkan,” katanya ketika berucap pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 MPKJ, di Dewan Seri Cempaka, petang ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 80 warga kerja MPKj dan 14 pesara kakitangan pelbagi agensi PBT itu diraikan atas sumbangan serta khidmat bakti yang diberikan mereka sepanjang berkhidmat bersama MPKj.

Mohd Sayuti berkata, pengiktirafan diberikan atas komitmen kakitangannya menghasilkan kualiti perkhidmatan bermutu dan cemerlang.

“Saya berharap kecemerlangan ini akan terus berkekalan dan selayaknya semua penerima layak dinobatkan sebagai agen reformasi perkhidmatan awam, di MPKj,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah cemerlang itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :