SUKANKINI

Wenger ucap selamat tinggal kepada Arsenal

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 APR: Arsene Wenger, 68 akan meninggalkan Arsenal hujung musim ini selepas berkhidmat selama 22 tahun bersama kelab berpengkalan di London itu.

Keputusan itu diumumkan menerusi laman rasmi Arsenal dan Wenger turut memaklumkan hasratnya itu kepada pasukan sebelum sesi latihan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United, Ahad ini.

“Selepas mempertimbangkan sebaiknya dan berbincang bersama kelab, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk berundur hujung musim ini.

“Saya bersyukur diberikan penghormatan mengendalikan kelab ini sepanjang beberapa tahun. Saya menguruskan kelab dengan penuh komitmen dan integriti.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain, lembaga pengarah dan peminat yang menjadikan kelab ini begitu istimewa. Cinta dan sokongan saya terhadap kelab ini kekal selamanya,” katanya.

Wenger memulakan karier bersama The Gunners sejak dilantik pada September 1996 dan mengharungi musim pertama yang kurang memberangsangkan.

Namun, beliau berjaya mengubah keadaan di musim kedua dengan membawa masuk beberapa nama besar seperti Patrick Vieira dan Emmanuel Petit.

Pengendali dari Perancis ini turut berjaya melakar sejarah bersama Arsenal pada musim 2003/04 apabila memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris tanpa sebarang kekalahan.

Beliau turut berjaya membawa Arsenal ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim berikutnya tetapi tewas kepada Barcelona.

Arsenal kini dilandasan terbaik untuk merangkul trofi pertama Eropah apabila berada di peringkat separuh akhir Piala Europa dan akan bertemu Atletico Madrid.

 


Pengarang :