NASIONAL

YDP Dewan Rakyat sedia hadapi kemungkinan blok kiri menang PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Seri Panglima Pandikar Amin Mulia bersedia berhadapan kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau berkata, beliau pasti tidak akan dipilih semula sebagai Yang Dipertuan Dewan Rakyat sekirnya pertukaran kerajaan berlaku.

“Saya sendiri juga sudah bersedia menghadapi kekecewaan sekiranya tidak dicalonkan sebagai Dipertua Dewan Rakyat selepas PRU-14 nanti.

“Manalah tahu, pihak yang menang nanti adalah pihak di sebelah kiri pula,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Kata-katanya itu disambut dengan sorakan Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan terakhir itu.

Pandikar Amin turut menasihati supaya Ahli Parlimen lain juga jangan kecewa sekiranya tidak dicalonkan parti masing-masing pada PRU-14 nanti.

Jelasnya, sebagai ahli politik, mereka perlu menerima keputusan itu sebagai asam garam dalam politik.

Katanya, Persidangan Parlimen Ke-13 Malaysia yang bermula pada 24 Jun 2013 itu turut melalui pelbagai cabaran dan pengalaman pahit dan manis.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat kerana memberikan idea dan sumbangan sepanjang persidangan berlangsung,” katanya lagi.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini merupakan persidangan terakhir sebelum pembubaran parlimen yang dijangka berlaku esok.


Pengarang :