SELANGOR

YIDE-SELGATE kolaborasi tubuh pusat dialisis

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 16 APR: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berkunjung ke Selgate Corporation Sdn Bhd (SELGATE) bagi membincangkan kerjasama penubuhan pusat dialisis di daerah yang masih belum terdapat Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Komitmen memperluaskan Pusat Dialisis MAIS di setiap daerah itu diambil setelah melihat kepada bilangan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat.

Pertemuan antara Pengurus Operasi YIDE, Mohd Arifin Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE, Noor Hisham Mohd Ghouth itu antara lain turut membincangkan hal ehwal penajaan untuk anak-anak yatim dibawah seliaan YIDE pada Ramadan kelak.

Untuk rekod, YIDE adalah sebuah yayasan yang memberi khidmat sokongan kebajikan dalam bidang kesihatan dan perubatan seperti rawatan Hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis MAIS.

Setakat ini, YIDE sudah mengurus selia enam cawangan Pusat Dialisis MAIS membabitkan Pusat Dialisis MAIS Shah Alam, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati dan Bukit Jelutong.

Kesemua pusat Dialisis itu menyediakan 43 mesin Hemodialisis bagi menampung kapasiti 258 pesakit daripada pelbagai peringkat umur.

Malah, YIDE turut berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan dan bantuan pendidikan.

Terdahulu, YIDE menyalurkan bantuan kesihatan dengan mengagihkan Kad Peduli Sihat kepada anak yatim dan penjaga melalui SELGATE.


Pengarang :